Nurul Huda Abhar
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah membuat rundingan dengan syarikat penerbangan berikutan penangguhan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka di semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober.
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam satu hantaran di laman sosial Facebook, menyatakan ia melibatkan mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar untuk pulang ke kampus.
“Ini melibatkan pelajar yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing.
“Hasil rundingan tersebut, syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar,” katanya hari ini.
Menerusi hantaran itu, dimaklumkan pelajar yang terlibat akan menerima pemansuhan bayaran tambahan susulan daripada penangguhan kemasukan ke IPT.
Tambahnya, pengumuman penjadualan semula tiket penerbangan adalah bagi tempoh satu tahun dari tarikh pembelian oleh syarikat Malaysia Airlines.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.malaysiaairlines.com/hq/en/student-waiver.html,” katanya.
Semalam, KPT mencadangkan semua IPT menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.
KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Rata-rata pelajar dan ibu bapa menzahirkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan tersebut kerana terdapat pelajar yang telah membeli tiket penerbangan lebih awal.
Selain itu, ada juga pelajar yang telah berada di IPT masing-masing bagi sesi pendaftaran yang dijadualkan berlangsung awal Oktober ini. – Malaysiapost

