Filem Mat Kilau: Tiada istilah cemar imej bangsa lain – PEMBELA

0
3

PERTUBUHAN-Pertubuhan PEMBELA Islam (PEMBELA) menegaskan tiada istilah mencemarkan imej mana-mana bangsa, seperti didakwa Persatuan United Sikhs Malaysia kononnya Filem Mat Kilau telah menggambarkan kaum dan agama lain sebagai jahat.

“Sebaliknya, filem itu menonjolkan kezaliman penjajah dan menjadikan kita hamba di tanah berdaulat ini,” kata PEMBELA menerusi Facebook.

Tambah PEMBELA, di samping itu, semangat cinta akan negara seharusnya mekar dalam diri semua ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya turut membidas kenyataan persatuan itu dan menyifatkannya sebagai ‘melatah’ secara tiba-tiba memandangkan sudah beberapa minggu filem Mat Kilau menjadi tontonan awam.

Aminuddin turut mempersoalkan kedudukan persatuan tersebut yang didakwa mewakili masyarakat Sikh di Malaysia kerana menurutnya United Sikhs merupakan sebuah organisasi yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

“Jika ya, saya tidak pelik kerana United Sikh memang berpangkalan di Amerika Syarikat di mana memang sekutu British pun, termasuk dari segi fahaman dan cara fikir,” katanya.

Aminuddin berkata, sepatutnya pihak mereka berbangga kerana filem ini memaparkan penindasan British yang berlaku terhadap nenek moyang mereka selain yang ditonjolkan terhadap orang Melayu.

“Di mana nenek moyang mereka dipaksa menjadi sebahagian dari pasukan dihambakan untuk menjalankan agenda kolonial British.

“Melainkan mereka ini memang pro-British yang menganggap kedatangan British dan ‘hamba-hambanya’ ke Tanah Melayu dahulu adalah demi kemajuan,” katanya.

Jelas Aminuddin, filem itu berlatarbelakang Tanah Melayu era tahun 1800-1900 oleh itu, memang ianya berkisar tentang perjuangan orang Melayu

“Tak ada salah pun kalau bangsa lain tidak ada (bersama Mat Kilau) dalam filem.

“Kerana bangsa-bangsa lain yang didatangkan oleh British pada era itu bukan warga tempatan, malah rata-ratanya adalah rakyat British.

“Janggal pula kalau nak tonjol bangsa lain berjuang bersama Mat Kilau menentang British,” katanya.

Terdahulu, Persatuan United Sikhs Malaysia dalam satu kenyataan mendakwa kononnya Filem Mat Kilau telah menggambarkan kaum dan agama lain sebagai penjahat.

Mereka mempercayai perkara ini boleh menyebabkan ketidakharmonian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here