Najib sindir tindak tanduk PAS-Bersatu tak selari

0
2

KEPUTUSAN tidak selari antara PAS dan Bersatu berkenaan penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mengundang pelbagai spekulasi.

Malah ketidak sefahaman dua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) itu menjadi bahan sindiran Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak yang berkongsi di Facebook miliknya, hari ini.

“Enam hari dulu, Muhyiddin (Yassin) kata PAS sudah bersetuju guna logo PN pada PRU15 dan perkara ini boleh disahkan presiden PAS dan kepimpinan PAS.

“Lima hari lalu, Timbalan presiden PAS kata belum ada keputusan untuk PAS guna logo PN pada PRU15.

“Hari ini, Presiden PAS kata mereka sedang bincang guna logo PAS pada PRU15,” katanya.

Hari ini Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu akan menggunakan lambang bulan pada PRU15.

Bagaimanapun Abdul Hadi menjelaskan, ia masih di peringkat perbincangan dalaman pucuk pimpinan parti.

Kenyataan terkini Abdul Hadi itu sebagai maklum balas berhubung kenyataan Muhyiddin, minggu lalu.

Muhyiddin mendakwa perkara itu telah dipersetujui kepemimpinan kedua-dua parti.

Sementara itu, Najib turut menyindir PN berkenaan isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dimohon Bersatu, namun tidak mendapat persetujuan PAS.

“Tiga hari dulu, Bersatu kata wujudnya perjanjian jawatan Timbalan PM antara PN dengan PM Ismail.

“Hari ini, presiden PAS kata tak wujud perjanjian tersebut. Entahlah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here