Umno mahu kerajaan lanjut moratorium pinjaman

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN perlu mempertimbangkan lanjutan moratorium secara automatik bermula Oktober hingga Disember ini bagi membantu rakyat yang menghadapi gelombang kedua pandemik Covid-19.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, moratorium pinjaman sebelum ini telah tamat tempohnya pada 30 September lalu.

“Kita sarankan kerajaan memberi arahan kepada bank untuk memberhentikan prosiding lelongan dan pengisytiharan muflis sebagaimana biasa apabila ada rakyat yang tidak mampu membayar pinjaman selepas tempoh moratorium tamat.

“Ini kerana rakyat tiada kerja, tiada pendapatan dan alasan tulen yang lain. Prosiding lelongan dan prosiding lain terhadap peminjam hanya boleh dibuat selepas enam bulan atau satu tahun tempoh moratorium tamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, bank perlu mengambil kira golongan bawahan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan mereka yang baru kembali bekerja.

“Bank di negara ini perlu prihatin terhadap masalah golongan yang benar-benar terkesan akibat Covid-19 dan mempertimbangkan tindakan mereka berdasarkan kesan penularan wabak yang serius ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, sehingga 20 Julai, moratorium enam bulan telah memberi manfaat kepada 7.7 juta peminjam (93 peratus) dengan jumlah RM38.3 bilion.

Katanya, data Bank Negara Malaysia juga menunjukkan 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu sebanyak 95 peratus mendapat manfaat dengan jumlah RM20.7 bilion.

Penangguhan hutang secara bersasar selama enam bulan itu bermula April dan tamat 30 September lalu. – Malaysiapost