KEPUTUSAN Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 0.25 peratus kepada 2.25 peratus disifatkan tidak wajar ketika rakyat berhadapan peningkatan kos sara hidup.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.
Menurutnya, situasi tersebut menimbulkan kebimbangan ramai pihak terutama golongan B40 dan M40 yang memberi kesan kepada pendapatan boleh guna mereka.
“Kebanyakan pinjaman oleh golongan ini adalah yang berkeperluan seperti pinjaman kenderaan serta kediaman termasuk peribadi. Lebih memeritkan lagi sekiranya pinjaman mereka dibuat ketika OPR rendah sekitar tahun Julai 2020 hingga Mei 2022.
“Sudah tentu kenaikan OPR yang begitu drastik mengakibatkan pendapatan boleh guna berkurang kerana pendapatan sedia ada perlu disalur untuk membayar kenaikan kos pinjaman,” katanya hari ini.
Adnan berkata, pihaknya tidak melihat apa-apa jaminan daripada kerajaan untuk menstabilkan harga barangan yang naik ketika ini.
Ujar beliau, walaupun BNM memaklumkan keputusan untuk menaikkan OPR dibuat bagi mengekang peningkatan kadar inflasi negara, namun CUEPACS tidak merasakan harga barangan asas yang naik mendadak dapat diturunkan sama seperti sebelum kenaikan berlaku.
“Harus diakui golongan berpendapatan rendah menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, khasnya yang menetap di kawasan bandar dan pinggir bandar. Sekiranya harga barangan keperluan dan kos pinjaman terus meningkat, mereka inilah yang akan terkesan.
“Kerajaan harus meneliti semula keputusan mengenai dasar monetari negara pada masa hadapan walaupun CUEPACS akui kerajaan tidak boleh masuk campur secara langsung dalam sebarang langkah berkaitan dasar monetari oleh BNM termasuk kenaikan OPR.
“Sekiranya OPR terus dinaikkan tahun ini, ia tentu memberi tekanan kepada kebanyakan rakyat. Kenaikan gaji yang tidak begitu ketara berbanding peningkatan kos sara hidup pasti membebankan,” ujarnya.
Beliau berkata, andaian kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.
Kata Adnan, sebaliknya kerajaan perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi masalah inflasi ini tanpa menyalurkan kesannya kepada rakyat secara langsung. – Malaysiapost

