Asia Times putar belitkan tajuk – Isham Jalil

0
3

TAJUK portal Asia Times sengaja diputar belitkan demi mencetuskan sensasi dan menarik perhatian pembaca terhadap portal mereka, dakwa Isham Jalil. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, tiada satu pun ayat yang keluar daripada mulut Datuk Seri Mohamad Hasan bermaksud Datuk Seri Najib Razak bersalah dan perlu meringkuk dalam penjara. 

“Saya telah mendengar audio rakaman perbualan antara wartawan Asia Times dengan Tok Mat Hasan dari awal sampai habis.

“Tidak ada satu pun bahagian atau mana-mana bahagian yang Tok Mat Hasan kata Najib bersalah dan patut masuk penjara. 

“Tajuk di portal itu adalah tidak betul dan satu putar belit (spin), mungkin bertujuan untuk mensensasikan dan memviralkan portal mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Isham menjelaskan,  Najib sejak dari awal dibicarakan tidak pernah meminta kes-kes yang dihadapinya digugurkan, meski pun sepanjang empat tahun ini tiga kali kerajaan memerintah bertukar tangan. 

“Tok Mat Hasan pun telah nafi semalam yang dia kononnya ada kata bahawa Najib bersalah dan patut masuk penjara seperti yang dijaja oleh pemimpin-pemimpin PH dan PN.

“Tok Mat hanya kata Dato’ Sri Najib perlu melalui proses mahkamah. Dan jika didapati bersalah dia perlu melalui proses undang-undang. 

“Sememangnya dari dulu Datuk Seri  Najib telah dan sedang melalui proses undang-undang. Dia tidak minta supaya kesnya digugurkan. Dia mahu membersihkan namanya di mahkamah melalui proses undang-undang. 

“Sebab itu walaupun kita sudah tukar kerajaan sebanyak tiga kali, kes Najib masih berterusan dan tidak digugurkan. Ini berbeza dengan kes rasuah pemimpin PH dan DAP Lim Guan Eng dahulu, apabila PH mengambil kuasa kerajaan selepas PRU-14, kes rasuah Lim Guan Eng telah digugurkan. Kes Najib tidak digugurkan selepas Umno kembali dalam kerajaan,” katanya. 

Isham menambah, soalan yang ditanya oleh wartawan itu pun adalah berkenaan andaian apa akan jadi jika Najib didapati bersalah dan masuk penjara. 

“Ini adalah situasi atau senario terburuk yang akan berlaku kepada sahabatnya  Najib, dan dia (Tok Mat Hasan) telah memberikan pandangannya. 

“Saya lihat apa yang Tok Mat luahkan ialah mempersediakan diri untuk senario yang terburuk jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada sahabatnya Najib. 

“… Tok Mat pernah kata pada saya, “We hope for the best, but prepare for the worst” (kita berharap untuk yang terbaik, tetapi perlu bersedia untuk yang terburuk).

“Namun ini tidak bermaksud yang dia mahu Najib masuk penjara. Apa yang dia kata adalah jawapan kepada soalan andaian wartawan berkenaan senario jika Najib didapati bersalah,” katanya. 

Selain itu, Isham berkata, musuh Umno akan mengambil peluang untuk melemahkan dan memecah belahkan parti keramat orang Melayu itu. 

“Dan proses pengampunan adalah bukan serta merta, jika Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan, besar kemungkinan dia akan menghadapi penjara dahulu sebelum diampunkan.

“Sebab itu tajuk berita portal Asia Times tersebut adalah bukan sahaja tidak tepat tetapi tidak betul dan tidak adil kepada Tok Mat Hasan dan kepada Dato’ Sri Najib.

“Yang seronok apabila berita seperti ini keluar adalah PH dan PN yang dari dulu cuba melaga-lagakan pemimpin-pemimpin Umno. Mereka tidak boleh kalahkan Umno dari luar oleh itu mereka cuba ingin retakkan Umno dari dalam,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here