Mat Kilau atasi Munafik 2, catat kutipan tertinggi

0
2

FILEM epik tempatan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengumpul RM51.8 juta selepas hanya 13 hari tayangan pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ia sekali gus menjadikan drama aksi arahan Syamsul Yusof terbitan Studio Kembara Sdn Bhd sebagai filem Malaysia dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.

Syamsul juga telah mengenepikan filem Munafik 2, juga diarahkannya yang ditayangkan pada 2018 yang sebelum ini merupakan filem tempatan terbesar dengan kutipan jualan tiket lebih RM48 juta.

Mat Kilau yang ditayangkan di pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 23 Jun lalu berjaya meraih rekod RM1 juta pada hari pertama tayangannya.

Nampaknya, Syamsul mewarisi sentuhan bapanya, penerbit dan pengarah veteran Datuk Yusof Haslam yang pernah digelar Lelaki Enam Juta Dolar.

Yusof mencipta sejarah pada tahun 1994 apabila filem Sembilu 2 lakonan Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menjadi filem Malaysia pertama meraih lebih RM6.1 juta di box office.

Mengenai kejayaan luar biasa Mat Kilau, Yusof berkata, beliau berbangga dengan Syamsul atas kejayaan karya epik itu.

“Semua ini diizinkan Tuhan. Kredit dan pengiktirafan juga ditujukan kepada Syamsul dan Studio Kenbara sebagai penerbit.

“Ini memang rezeki mereka. Saya berkongsi kegembiraan dan rasa bangga dengan kutipan box office hebat yang sebelum ini tidak pernah dilihat dalam sejarah industri perfileman tempatan,” katanya.

Yusof berkata, kejayaan Mat Kilau yang memberangsangkan adalah pemangkin untuk merancakkan industri pawagam dan filem semasa fasa endemik ini.

“Malah, melihat kepada sambutan rakus orang ramai terhadap filem ini, sudah tentu ada kemungkinan akan ada koleksi yang lebih besar lagi,” katanya.

Mat Kilau yang dilaporkan menelan belanja RM8 juta mempunyai tempoh penggambaran selama 100 hari di Perak, Pahang, Melaka dan Selangor.

Berkisar mengenai tokoh sejarah yang menentang penjajah British di Pahang pada tahun 1880-an, filem ini menampilkan barisan pelakon Datuk Adi Putra, Datuk Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri, Khir Rahman, Yayan Ruhian, Datuk Rahim Razali, Nam Ron dan Wan Hanafi Su. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here