Jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

0
1

SERAMAI 14,306 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah hari ini, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pergerakan secara berperingkat itu bermula jam 7 pagi waktu Arab Saudi, membabitkan jemaah dari tiga bangunan penginapan iaitu di Abraj Al Janadriyah, Qsar Al Janadriyah dan Land Premium serta jemaah haji pakej.

“Lembaga Tabung Haji (TH) dan Syarikat Tewafa Asia Tenggara menyediakan 17 bas bagi membawa kira-kira 2,500 jemaah haji untuk setiap maktab dan pergerakan itu dibuat secara tiga pusingan (tiga waktu berlainan).

“Urusan membawa jemaah dari Makkah ke Arafah dijangka selesai sebelum jam 10 malam bagi pergerakan 8 Zulhijjah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian yang memetik Bernama.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dijangka menyampaikan khutbah Arafah di khemah jemaah haji.

Syed Saleh berkata, jemaah haji tahun ini bertuah kerana kerajaan Arab Saudi telah melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan tilam dan bantal di khemah penginapan, serta bekalan elektrik disambung secara terus tanpa menggunakan ‘genset’ untuk memastikan ia lebih baik dan stabil.

Selain itu, katanya, bagi pergerakan ke Muzdalifah, bas akan bersedia di Arafah pada jam 6 petang dan jemaah mula menaiki bas setengah jam selepas itu untuk bergerak ke sempadan Arafah.

“Bas akan bergerak dari Arafah ke Muzdalifah sebaik azan Maghrib berkumandang pada jam 7.08 malam. Jemaah haji kemudian akan bermabit di Muzdalifah sehingga jam 11.45 malam,” katanya.

Bagi pergerakan ke Mina pula, bas pertama dijangka bergerak dari Muzdalifah pada jam 11.45 malam dan berdasarkan perancangan awal, urusan pergerakan jemaah haji di Muzdalifah dijangka selesai jam 6 pagi Sabtu.

“Mereka akan berada di Mina untuk bermalam dan melontar di tiga jamrah. Semasa berada di Mina pelbagai aktiviti dirancang bagi mengisi masa sepanjang berada di situ seperti berzikir dan ceramah.

“Untuk melontar mereka akan bergerak dari khemah ke jamrah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer pergi dan balik. Jemaah haji akan bergerak pada waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas dan sepanjang pergerakan akan ada petugas menunggu di kawasan tertentu untuk memberi pandu arah,” katanya.

Syed Saleh berkata, kesemua jemaah telah diberi taklimat lebih awal mengenai pergerakan yang akan berlaku sepanjang operasi di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Katanya, pergerakan dan suasana semasa operasi masyair adalah sesuatu yang amat mencabar dan berharap jemaah haji bersedia dari segi mental dan fizikal.

Sementara itu, bagi jemaah yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH Syisyah dan Hospital Arab Saudi, mereka akan dibawa wukuf di Arafah dengan menggunakan ambulans sekiranya mendapat kebenaran daripada doktor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here