PEMPENGARUH media sosial, Haqiem Stopa tampil menjelaskan tujuan kehadirannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi baru-baru ini, selepas dikecam kerana dikatakan tidak layak berkongsi pengalaman bersama pelajar sekolah.
Menerusi video di TikTok, Haqiem memaklumkan dia menerima jemputan penganjur Projek Belia Mahir dalam program ‘Cerita Orang Gagal’ yang melakukan inisiatif jelajah ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
Katanya, dia hadir ke sekolah itu atas jemputan untuk memberi motivasi berkenaan ‘peluang kedua’ bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tambah Haqiem, sesi motivasi ‘Cerita Orang Gagal’ adalah bagi memberi dorongan kepada pelajar bahawa masih ada peluang untuk berjaya biarpun kurang bernasib baik dalam pelajaran.
Dalam program itu juga, dia berkongsi pengalaman sebagai seorang yang gagal dalam pelajaran dan pernah menjadi mangsa buli siber.
Dalam masa sama, dia menafikan dakwaan mengajar pelajar di sekolah itu mengenai permotoran ketika program tersebut berlangsung.
“Kita tak ajar pelajar bawa motor, main motor, tak ajar pelajar-pelajar fly seperti yang dinyatakan di media-media lain.
“Kita kongsi tentang seseorang yang pernah gagal dalam hidup dan bangkit dengan semangat/usaha yang besar. Bina kerjaya untuk bantu mak ayah dan masa depan,” katanya.
Semalam, Malaysiapost melaporkan kehadiran seorang TikTokers sebagai jemputan majlis di sebuah sekolah menengah mendapat reaksi pelbagai pihak yang mempersoalkan ciri-ciri pemuda itu sehingga diangkat sebagai ikon anak muda.
Menerusi hantaran laman Kuro Bikeseller di Facebook, mereka mempersoalkan jemputan Haqiem Stopa ke sekolah menengah itu atas dasar apa.
Rata-rata netizen juga senada dengan pendapat bahawa sepatutnya ikon belia yang dijemput ke sekolah adalah individu yang cemerlang dalam sesebuah bidang. – Malaysiapost

