Subsidi RM77.3 bilion bukti kerajaan utamakan kebajikan rakyat – Armand

0
2

AHLI Dewan Negara, Senator Datuk Seri Armand Azha Abu Haniffah membidas beberapa pihak yang mempertikai langkah kerajaan Keluarga Malaysia membelanjakan subsidi luar biasa tahun ini kepada rakyat, berbanding untuk pembangunan negara.

Beliau berkata, keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini ialah menjaga kepentingan rakyat sehingga sanggup membelanjakan subsidi RM77.3 bilion untuk rakyat yang sedang bergelut menghadapi ketidaktentuan harga barangan.

Katanya, kalau bukan kerajaan Keluarga Malaysia yang menjaga rakyat, siapa lagi boleh diharapkan ketika ini.

“Paling kelakar kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempertikai kenapa kerajaan membelanjakan begitu banyak subsidi kepada rakyat, tentang isu yang dibangkitkan kenapa tak beri subsidi tinggi kepada pembangunan?

“Jadi saya nak jawab, lebih baik pentingkan kebajikan rakyat daripada pembangunan, tentang kebajikan rakyat, keselesaan rakyat, kehidupan rakyat seharian, selepas itu baru kita fikirkan kepada pembangunan. Kalau kita tak jaga rakyat, siapa lagi?” katanya dalam klip video di Facebook, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Mohd Shafie mempersoal cara kerajaan akan membiayai subsidi untuk keperluan rakyat yang diunjur mencapai paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM77.3 bilion tahun ini.

Mohd Shafie dilaporkan berkata, jumlah itu lebih tinggi daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara sebanyak RM76.6 bilion.

Dalam pada itu, Armand menegaskan, rakyat perlu tahu bahawa tiada kerajaan di dunia selain Malaysia membelanjakan jumlah subsidi tinggi untuk keperluan rakyat.

“Ramai tidak sedar hari ini kerajaan membelanjakan subsidi kepada rakyat sebanyak RM77.3 bilion pada tahun 2022.

“Ini adalah subsidi terbanyak pernah ditangggung mana-mana kerajaan di dunia. Kita bercakap menggunakan fakta, bukan auta mahu pun emosi.

“Kita kena faham apa yang berlaku di negara ini berlaku juga di seluruh dunia kerana kenaikan harga komoditi, kadar inflasi bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia akibat faktor utama konflik geopolitik antara Ukraine dan Russia, gangguan rantaian bekalan global seperti India yang hentikan eksport gandum dan lain lain lagi,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Subang itu berkata, kenaikan harga barangan di Malaysia tidak begitu mendadak berbanding negara lain seluruh dunia yang kenaikannya begitu mendadak seperti di Korea Selatan, India dan Singapura. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here