JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung seorang wanita yang tular di media sosial kerana berkelakuan dan berpakaian tidak senonoh di sebuah kedai makan di Setiu.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan wanita berusia 30-an selepas dia ditahan di premisnya kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Menurutnya, JHEAT telah merakam keterangan wanita itu sebelum dia dibebaskan dengan bon jaminan.
“Kita boleh panggil dia balik bila-bila masa dan kita juga berusaha untuk mendapatkan saksi-saksi yang tahu isu atau terlibat dalam kes ini.
“Insya-Allah, selepas itu kita akan serahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah untuk tindakan seterusnya untuk dibuat pendakwaan di bawah seksyen sama ada berpakaian tak senonoh atau melakukan sesuatu yang tidak bermoral.
“Kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, M Rozi berkata, wanita itu pernah dipanggil untuk tindakan dan diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
“Dia pun sudah berjanji tidak akan buat (melakukan perbuatan sama) namun ia tetap berlaku,” katanya.
Ahad lalu, video tular di media sosial memaparkan dua pelanggan memeluk bahu dan pinggang seorang wanita didakwa berlaku di sebuah kedai makan.
Video berkenaan menimbulkan kecaman daripada orang ramai dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit. – Malaysiapost

