Pemandu lori langgar beberapa kenderaan di Tambak Johor berdepan tindakan

0
2

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyiasat segera insiden sebuah lori melanggar beberapa kenderaan lain di laluan Johor Bahru- Woodlands di Tambak Johor, pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata siasatan akan dijalankan mengikut Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden ini.

Pada masa sama, katanya, polis akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ini termasuklah menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya menerusi kenyataan.

Ka Siong berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula akan menyiasat dari aspek teknikal, untuk mencari punca kemalangan tersebut.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada, bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here