Vanidah Imran kembali bergelar isteri

0
1

PELAKON terkenal, Vanidah Imran kini rasmi bergelar isteri kepada, Arifabillah Idris selepas kedua-duanya disatukan pagi ini.

Dengan sekali lafaz, Vanidah, 49, menjadi milik Arifabillah, 43, yang juga jurutera.

Majlis pernikahan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran di ibu negara pada jam 12.12 tengah hari.

Pada majlis pernikahan dihadiri 50 tetamu terdiri ahli keluarga dan teman rapat, Vanidah dan Arifabillah sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas, selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Mendapat sentuhan perancang perkahwinan @ezsconcept, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.

Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, bukan seuatu yang mudah, namun restu keluarga dan sokongan rakan, niat baik itu dipermudah Allah.

Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu memilih mengunci mulut tanpa menghebahkannya.

“Sejujurnya yang tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

“Kawan rapat pun hanya saya maklumkan beberapa hari sebelum pernikahan. Ada antara mereka terkejut dengan berita ini, namun tumpang gembira,”ujarnya.

Tambah Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.

Jelas Vanidah lagi, dia dan suami ada pengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru persefahaman lebih mudah dicapai.
“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” katanya yang kini pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM). – Malaysiapost

.
Foto: @luxurycapturephotography

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here