PEMILIK akaun Instagram @deedee_cooks memohon maaf atas kekhilafannya secara terbuka berhubung dakwaan mempersoalkan status halal produk Mcdonald’s Malaysia.
Permohonan maaf individu dikenali sebagai Chef Deedee itu dibuat melalui Instagramnya pada Selasa, dan disiarkan menerusi Facebook McDonald’s Malaysia hari ini.
“Saya ingin menjelaskan isu berkaitan dengan status halal produk-produk keluaran McDonald’s Malaysia dan kenyataan bahawa Ayam Goreng Spicy McDonald’s tidak selamat dimakan yang telah saya viralkan/sebarkan sebelum ini melalui penerbitan dalam akaun Instagram saya (@deedee_cooks).
“Saya menyatakan bahawa status halal produk-produk keluaran McDonald’s Malaysia terutamanya produk Ayam Goreng Spicy telahpun disahkan oleh JAKIM dan sudah tentu selamat untuk dimakan.
“Oleh yang sedemikian, segala kekhilafan dan/atau kekeliruan yang wujud sebelum ini adalah amat dikesali,” katanya.
Individu berkenaan juga memohon maaf kepada McDonald’s Malaysia, pengikut-pengikut di Instagramnya dan orang awam kerana posting itu telah menimbulkan kekeliruan berkenaan dengan status Halal produk-produk keluaran McDonald’s Malaysia dan juga kualiti produk-produk McDonald’s terutamanya Ayam Goreng Spicy.
Susulan kesilapan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang isu dan pertanyaan berhubung produk produk keluaran McDonald’s, untuk terus menghubungi pihak McDonald’s melalui laman sesawang rasmi McDonald’s Malaysia dan aplikasi McDonald’s Malaysia yang sedia ada.
Sehubungan itu, McDonald’s Malaysia turut mengulangi komitmen mereka dalam menyediakan makanan halal yang merangkumi seluruh rangkaian bekalan dan operasi, daripada kualiti makanan dan ramuan halal, kepada aspek kebersihan serta program-program kemasyarakatan yang berkaitan.
“Terima kasih atas kepercayaan berterusan anda terhadap produk-produk kami,” kata McDonald’s Malaysia. – Malaysiapost

