PEMAIN gitar legenda dunia, Carlos Santana rebah ketika mengadakan konsert di Pine Knob Music Theatre, Michigan, Amerika Syarikat (AS), Selasa lalu.
Gitaris berusia 74 tahun itu kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital McLaren Clarkston untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Keadaan terkini selebriti terkenal dengan petikan gitar antaranya Black Magic Woman itu dimaklumkan sendiri Carlos Santana di laman Facebooknya.
“Kepada semua, terima kasih atas doa anda yang tidak ternilai. Saya dan Cindy (isteri) baik-baik saja.
“Saya terlupa makan dan minum air hingga saya dehidrasi dan pengsan. Rahmat dan keajaiban kepada anda semua,” katanya di Facebook.
Isterinya, Cindy Blackman turut membuat hantaran mengenai keadaan kesihatan terkini Santana yang memaklumkan pemain gitar itu akan kembali seperti biasa tidak lama lagi.
“Harap maklum bahawa dia sedang berehat dan berada dalam keadaan baik. Dia disahkan mengalami keletihan akibat haba dan dehidrasi…ia adalah 100 darjah di atas pentas dan 114 di bawah lampu dan ditambah dengan tidak kekurangan minum air yang menjadi adalah punca masalah itu,” katanya.
Sementara itu, pengurus Santana, Michael Vrionis dalam satu kenyataan di laman web Santana, memaklumkan konsert yang akan diadakan di Burgettstown di Pennsylvania pada Rabu akan ditangguhkan pada satu tarikh lain. – Malaysiapost

