Mohd Puad ‘gila bayang’, ‘lapar perhatian’ – Sahruddin

0
2
Dr Sahruddin Jamal officially started his duties as a Johor Mentri Besar at Bangunan Dato Jaafar Muhammad in Kot Iskandar on April 15

DATUK Dr Sahruddin Jamal menyifatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai ‘gila bayang’ serta ‘laparkan perhatian’ apabila dilihat sering mengkritik kepimpinan Bersatu dalam kenyataannya di media sosial.  

Ketua Badan Pimpinan Bersatu  Johor itu berkata, beliau hairan  dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit itu, yang tidak pernah lekang di bibirnya nama parti Bersatu.

Katanya, meskipun bergelar seorang Yang Berhormat apatah lagi telah dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Johor, Mohd Puad masih mempunyai masa terluang yang banyak untuk menyerang Bersatu.

“Masa terluang tersebut digunakan oleh beliau sehabisnya untuk meratib nama pimpinan Bersatu menerusi kenyataan-kenyataan jumud dalam media sosialnya.

“Selain menunjukkan dirinya seorang yang laparkan perhatian, malah beliau juga telah menunjukkan bahawa dirinya lebih gemar untuk ‘bermain politik’ berbanding berkhidmat kepada rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Sahruddin berkata, di saat rakyat sedang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, Mohd Puad seharusnya berhenti daripada berkhayal dan kembali menjalankan tanggungjawab hakiki beliau.

Justeru, bekas Menteri Besar Johor itu menyarankan kepada Mohd Puad agar tidak mencampuri urusan Bersatu dan memberikan perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri Johor serta Speaker Dewan Negeri Johor.

“Janganlah ditunjukkan sangat ‘gila bayang’ atau perasaan kemaruk terhadap Bersatu sehinggakan kerap kali melatah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

“Beliau perlu menghormati amanah yang telah diberikan oleh rakyat khususnya DUN Rengit dan Bangsa Johor amnya, serta tidak mencemari kedudukan sebagai Speaker Dewan Negeri Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here