Aiman Hanif
BEKAS Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim yakin Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak akan menyekat cadangan penangguhan pemilihan Umno seperti mana permohonan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Jelasnya, Hamzah telah belajar daripada tindakannya sebelum yang lambat bertindak bagi permohonan pendaftaran parti Muda.
Tambah Zaid, tiada sebab untuk ROS menolak permohonan Umno menangguhkan pemilihan seperti mana diluluskan perhimpunan agung parti itu kerana ia mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Hamzah dari parti Bersatu, saya yakin dia tak akan buat sesuatu macam dia buat dengan parti Muda, parti Muda datang (jumpa), dia kata saya sibuk tak boleh proses, tapi mahkamah kata tak kan enam bulan tak boleh proses kot.
“Jadi, lepas pemgalaman itu dia tak akan buat dekat kita (Umno), lagi pun dia bukan Umno. Jadi apa-apa keputusan mencurigai yang merosakkan Umno yang menjadi tragedi kepada Umno sudah tentu keputusan itu boleh kita ketepikan dengan mudah.
“Jadi, kita selamat, jadi kita tak payah cakap pasal pindaan perlembagaan lah, kita tumpukan kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin), PAS, DAP, inilah kita tumpukan,” katanya dalam wawancara dalam program Hello Malaysia yang disiarkan di Facebook Umno Online, malam tadi.
Perhimpunan Agung Umno sebelum ini meluluskan pindaan perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum.
Keputusan perhimpunan agung Umno itu telah dihantar kepada ROS dua bulan lalu.
Pada 2 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Umno perlu menunggu sehingga 16 Julai ini bagi mengetahui keputusan daripada ROS berhubung permohonan untuk menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Ismail berkata, keputusan ROS untuk meluluskan pindaan perlembagaan parti yang dimohon sebelum ini dan memberitahu ROS dijangka membuat keputusan tersebut pada 16 Julai ini.
Dalam pada itu Zaid berkata Umno
telah membuat usul berkenaan mengikut perlembagaan dan terpulang kepada ROS membuat keputusan.
“Bagi saya Umno telah membuat usul berkenaan mengikut perlembagaan dan usul berkenaan telah dua bulan dihantar, maka bermacam spekulasi apakah ROS akan lulus, apa akan terjadi kepada Umno, apakah Umno akan dibubarkan, ini menimbulkan kebimbangan di bawah.
“Dalam keadaan kebimbangan mana mungkin kita bersedia untuk berperang, Umno telah melakukan mengikut peraturan terserah pada ROS,” katanya lagi.- Malaysiapost

