Kerajaan Kedah buka ruang semua pihak untuk membantu di Baling – MB Kedah

0
2

KERAJAAN negeri Kedah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dalam tragedi banjir dan fenomena kepala air yang melanda kawasan Baling.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk memberi khidmat dan menghulurkan pertolongan.

Beliau berkata, menolong orang lain yang sedang ditimpa kesusahan dan musibah serta membantu meringankan beban mangsa-mangsa tragedi, adalah sikap terpuji dan mulia.

“Tak terbalas semua jasa dan budi para sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa tragedi kepala ayaq (air) di Baling.
Saya difahamkan, para sukarelawan mai (datang) dari pelbagai tempat dalam dan luaq (luar) Kedah.

“Jabatan amal, parti-parti politik, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan, kelab-kelab dan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, syarikat korporat, alim ulamak, tuan guru, dan orang perseorangan.

“Termasuk juga para pemilik dan pemandu jentera berat sukarela. Saya nampak ada yang bawa backhoe, bawa treler, excavator, dan lori pelbagai saiz,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, kebanyakan sukarelawan yang membantu datang dengan duit sendiri dan memberi bantuan siang malam tanpa minta upah dari sesiapa

“Allah akan ganjari dengan sebaik-baik ganjaran. Orang yang suka tolong orang, Allah pasti akan bantu dia, mudahkan urusan dia.

“Saya besa (biasa) lalui hidup susah. Saya sangat faham erti susah. Amat besar maknanya bila ada orang mai (datang) tolong hulurkan bantuan saat kita dalam kesusahan,” katanya.

Beliau turut menitipkan pantun kepada pihak-pihak yang membantu dalam bencana yang melanda Baling, Isnin lalu susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir kilat dan kepala air.

“Jikalau kita bertanam padi,
Senanglah makan adik beradik,
Jikalau kita bertanam budi,
Orang yang jahat menjadi baik.

“Jikalau kita bawak lori,
Tengoklah sama tengah dan tepi,
Jikalau kita ikhlas berbakti,
Sejahtera hidup disanjung tinggi,” katanya.

Tragedi yang melanda Baling turut mengorbankan tiga nyawa iaitu Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang sedang hamil empat bulan; Salmah Mat Akib, 53; dan Khairul Ikhwan Nor Azman, 14. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here