MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 21 Julai ini sama ada Peguam Diraja (QC) dibenarkan mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhirnya berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta membabitkan SRC International Sdn Bhd.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk membolehkan Jonathan Laidlaw dari United Kingdom mewakili beliau.
Selain pendakwaan, permohonan Najib dibantah oleh Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur, lapor Bernama.
Pada 31 Mei lepas, Najib memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran melantik QC untuk membantu beliau berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
Pada 29 April lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu. – Malaysiapost

