Banjir Baling: Jangan buat spekulasi, tunggu laporan siasatan – MB Kedah

0
1

KERAJAAN Kedah perlu menunggu laporan daripada jabatan berkaitan sebelum mengesahkan punca yang menyebabkan berlaku kejadian banjir dan kepala air petang, Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya juga perlu melakukan siasatan lanjut sama ada terdapat projek Musang King yang masih dijalankan selepas arahan menghentikan projek itu dibuat pada Julai 2020.

“Tak perlu buat spekulasi atau pelbagai dakwaan, sekiranya ada bukti kemukakan, sekarang biar agensi mahupun jabatan berkaitan membuat penilaian terperinci berhubung faktor kejadian mengikut kepakaran pihak jabatan masing-masing.

“Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Hutan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang buat tadahan hujan dan ukur hujan memiliki kepakaran masing-masing.

“Mereka tak keluar laporan lagi, saya kena baca semua itu, baru boleh bagi kenyataan. Tak sama pandangan netizen, jika saya nak popular saya ikut mereka (netizen), mereka akan sokong saya.

“Tetapi saya nak kepimpinan mesti berdasarkan fakta dan laporan rasmi jabatan serta agensi. Apabila laporan tiada lagi, saya tak boleh cakap, tunggu dulu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga mengesahkan terdapat kolam air berdekatan projek tanaman Musang King di Gunung Inas berdasarkan gambar diambil dari udara oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia berisiko menyebabkan berlaku bencana banjir dan kepala air ke kawasan penduduk.

Katanya, perkara itu turut memerlukan penilaian jabatan berkaitan termasuk tandak air yang dibina penduduk kampung.

Terdahulu, Sanusi berkata, beberapa tandak air yang dibina penduduk didapati pecah dan dipercayai berkemungkinan menyumbang kepada pembentukan kepala air yang melanda daerah Baling pada petang kelmarin.

Katanya, tinjauan penduduk kampung ke tandak takungan di Gunung Inas yang membekalkan air masyarakat ke Kampung Carok Kapas dan Kampung Carok Rotan Mas mendapati ia pecah dalam tragedi berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here