Lelaki maut tertembak senapang rakan

0
2

AKIBAT tergelincir dari bukit, seorang lelaki maut dipercayai tertembak senapang patah yang terpelanting dari tangan rakan dalam kejadian di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat seorang lelaki berusia 32 tahun terkena tembakan di lokasi itu jam 7.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan bersama tiga rakannya masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian di atas lereng bukit yang terletak kira-kira dua kilometer perjalanan.

“Setakat ini, siasatan mendapati ketika dalam perjalanan seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah tergelincir di lereng bukit.

“Senapang berkenaan kemudian terpelanting dari tangan lalu berlaku tembakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa yang berada di bahagian belakang pada jarak kira-kira tiga meter terkena tembakan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur pada badan mangsa dipercayai daripada senjata api yang dibawa rakannya itu.

“Semakan dilakukan mendapati senjata api terbabit dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang daripada rakan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, tiga rakan mangsa berusia antara 36 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here