‘Najib patut masuk penjara’: Rafizi ucap tahniah Tok Mat, berani bersuara

0
3

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli memuji keberanian Datuk Seri Mohamad Hasan, berhubung kenyataan – ‘Najib bersalah dan perlu masuk penjara’ – yang didakwa dinyatakan ketika wawancara bersama media antarabangsa, Asia Times.

Rafizi berkata, ternyata masih ada ‘suara-suara’ berani di dalam Umno yang menyanggah kempen Datuk Seri Najib Razak yang didakwa cuba membodohkan rakyat terutama orang Melayu bahawa beliau tidak bersalah.

“Dalam temu ramah ini, Tok Mat secara jelas menyatakan pendapatnya bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bersalah setelah mahkamah membuktikan Najib menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Rafizi, walaupun Umno adalah saingan PKR, masa depan negara bergantung kepada parti politik termasuk Umno yang dipimpin oleh mereka yang bersih dari rasuah, cekap mentadbir dan mempunyai wawasan.

“Jika pun parti yang menang (pada suatu masa nanti) adalah PKR, negara masih memerlukan barisan pembangkang (seperti Umno) yang cekap dan bersih untuk membawa isu-isu rakyat serta menyemak tindakan kerajaan.

“Oleh itu, kempen berterusan Najib yang ingin menyelewengkan fakta yang telah dibentangkan di mahkamah adalah berbahaya kepada Umno dan negara.

“Apatah lagi apabila sebahagian besar dari rakyat Malaysia percaya bahawa Najib adalah bersalah dan telah menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ketika ini negara sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya cabaran ekonomi.

Katanya, rakyat terpaksa berdepan dengan bebanan sara hidup yang lebih tinggi dan kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat makin terbatas kerana ruang fiskal yang sempit.

“Sebahagian dari punca kebuntuan kewangan kerajaan ini adalah disebabkan bebanan hutang 1MDB yang diwariskan oleh Najib kepada rakyat.

“Sebab itu, untuk negara bergerak ke hadapan dan menerima hakikat kita akan terus dibebankan dengan bencana kewangan yang berpunca dari 1MDB, sekurang-kurangnya kita wajar diberi keadilan bermula dengan dalang-dalang utama 1MDB dihukum seadilnya oleh mahkamah,” katanya.

Rafizi berkata, walaupun negara tidak akan dapat kembali semua wang yang telah diselewengkan, sekurang-kurangnya rakyat mendapat keadilan apabila dalang-dalang utama 1MDB dihukum.

“Dalam konteks itu, keberanian Tok Mat menyuarakan apa yang terbuku di hati rakyat kebanyakan wajar mendapat pujian dan sokongan semua pihak,” katanya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan, Mohamad menepis laporan Asia Times yang melaporkan beliau percaya Najib sepatutnya dipenjarakan.

Sebaliknya, menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Najib sepatutnya mendapat penghakiman yang adil dan bukannya pendakwaan terpilih.

“Sekiranya saya percaya Najib tidak mendapat perbicaraan adil, bagaimana boleh saya katakan beliau patut masuk penjara. Ia tidak masuk akal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here