PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa tidak melayan tuntutan Bersatu susulan dakwaan wujud perjanjian bertulis bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata ini kerana ia tiada faedah kepada rakyat.
“Wan Saiful (Wan Jan) dedah wujud perjanjian bertulis antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Di saat kejatuhannya, (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) masih bernafsu besar menuntut jawatan TPM untuk PPBM (Bersatu).
“Maksudnya dari awal lagi keutamaan PPBM ialah jawatan. Dari awal lagi rupanya PPBM sudah mengugut Ismail Sabri kerana kejar jawatan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata Umno ternyata lebih baik apabila tidak membuat sebarang perjanjian bertulis ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
“Bermakna Umno lebih baik. Lebih gentleman (budiman) dari PPBM. Masa Umno sokong Muhyiddin jadi PM tidak ada perjanjian bertulis. Tidak ada syarat jawatan TPM.
“Umno sokong Muhyiddin jadi PM demi rakyat walaupun dia bersekongkol dengan DAP untuk jatuhkan BN [ada PRU14. Tetapi PPBM sokong Ismail Sabri jadi PM demi jawatan TPM, bukan rakyat,” katanya.
Semalam dalam satu temubual bersama portal tempatan, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata perbincangan jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu.
Ini kerana dakwanya, jawatan itu adalah perjanjian yang dibuat antara PN dengan Ismail Sabri sebelum beliau dilantik Perdana Menteri. – Malaysiapost

