
Fitri Nizam
PENGLIBATAN pemimpin dalam membela kebajikan mahasiswa adalah amat diperlukan sekali gus memberi mesej ‘kita jaga rakyat’ bukan ‘rakyat jaga rakyat’, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Justeru, beliau mengajak semua Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen serta ADUN PAS untuk bersama-sama membantu Pemuda PAS untuk meringankan beban ditanggung mahasiswa.
“Biar mereka rasa bahawa kita turut bersama mereka, memahami dan merasai keperitan mereka, dan sentiasa ada dengan mereka.
“Bukan hanya rakyat jaga rakyat, tapi kita jaga rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan itu, Khairil Nizam turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM15,000 daripada Pemuda PAS untuk membantu mahasiswa yang terkesan akibat penangguhan kemasukan ke sesi pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Semua Pemuda PAS di peringkat kawasan dan negeri diarahkan untuk menyediakan tabung infaq kecemasan khusus serta bantuan keperluan buat mahasiswa yang memerlukan bantuan kewangan atau tempat tinggal di kawasan mereka.
“Tidak kira samada mahasiswa itu tinggal di kawasan tersebut atau yang belajar di institusi pengajian tinggi di dalam kawasan tersebut.
“Selain itu, Pemuda PAS Kawasan dan Negeri juga diarah untuk mendekati persatuan-persatuan mahasiswa dan pimpinan pelajar di universiti berdekatan bagi melihat keperluan yang boleh dibantu untuk meringankan beban mereka,” katanya. -Malaysiapost
