KERAJAAN hari ini menjelaskan individu yang pulang dari Sabah tidak diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari, kerana ia adalah pergerakan antara negeri.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini kuarantin wajib 14 hari hanya membabitkan rakyat Malaysia serta individu yang tiba dari luar negara.
“Kuarantin 14 hari, sebelum ni kita umum hanya untuk rakyat yang pulang dari luar negara.
“Sebelum ini tidak pernah kita mengenakan kuarantin 14 hari membabitkan pergerakan dari negeri zon merah ke negeri lain.
“Sabah negeri dalam Malaysia, walaupun naik kapal terbang, masih dikategorikan sebagai rentas negeri,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan kerajaan mewajibkan kuarantin wajib 14 hari kepada individu dari luar negara kerana tidak tahu sejarah perjalanan serta kontak rapat mereka.
Katanya, dalam kes Sabah, ia adalah rentas negeri dan pihak berkuasa tahu dari mana lokasi individu itu datang.
“Misalnya jika dari Papar ia bukanlah zon merah dan tidak perlu kuarantin 14 hari.
“Kalau kita mula kuarantin rentas negeri, contoh kes di Kedah dianggap tinggi, Aman Jaya dan Kota Setar kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), adakah sesiapa datang dari Kedah kena buat ujian swab dan kuarantin?
“Selangor pula kes semakin meningkat iaitu 31 kes semalam, Hulu Selangor zon merah, adakah yang datang dari Shah Alam ke Kuala Lumpur akan kena kuarantin?
“Sebab itulah sesiapa saja balik dari Sabah kita ambil langkah pencegahan dengan membuat ujian swab, mereka dipakaikan gelang kuarantin,” katanya.
Beliau menambah, jika keputusan didapati negatif, individu tersebut boleh terus ke klinik kesihatan untuk memotong gelang berkenaan dan diberi surat pelepasan.
“Bagaimanapun Kementerian Kesihatan sentiasa nasihatkan orang ramai menjaga kepentingan diri dan keluarga, digalakkan kuarantin kendiri walaupun sudah negatif,” katanya. -Malaysiapost

