Johari Yazid
TAHNIAH diucapkan kepada bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang diumumkan secara rasmi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Walaupun kemunculan semula Rafizi dalam arena politik negara bukanlah perkara yang memeranjatkan, namun secara tersuratnya tindakan tersebut membuktikan bahawa dirinya merupakan seorang pemimpin yang hipokrit dan tidak jujur.
Apatah lagi dia sebelum ini pernah berjanji tidak akan kembali ke kancah politik kerana ingin memberi tumpuan kepada perkara lain.
Tindakan Rafizi yang menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden PKR ketika parti itu sedang berada dalam kedudukan terdesak setelah beberapa pemimpin kanannya seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin dan lain-lain bertindak melompat keluar parti, turut mempamerkan sikap sebenar Rafizi sebagai seorang yang opportunis.
Umum mengetahui PKR kini berada pada posisi paling lemah dalam Pakatan Harapan (PH) selepas tewas dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini dan kemunculan Rafizi dijangka sebilangan penyokongnya akan mampu memulihkan kembali imej dan sokongan parti itu di kalangan rakyat.
Ditambah pula dengan kepakaran Rafizi yang terkenal sebagai pemimpin politik yang handal ‘menjual air liur’ melalui pelbagai pembentangan kaedah dan formula yang didakwanya mampu menyelesaikan isu rakyat, walaupun sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan PH, tiada satu pun formula atau ideanya yang digunakan dalam pentadbiran ketika itu.
Namun, dengan kemenangannya sebagai Timbalan Presiden PKR, saya cukup yakin Rafizi akan kembali rancak mengasak dan menghentam kepimpinan kerajaan persekutuan juga pemimpin Umno-Barisan Nasional sehingga memperlihatkan seolah-olah hanya PH dan PKR sebagai parti yang jujur memperjuangkan nasib rakyat.
Meskipun hakikatnya sepanjang 22 bulan PH memerintah, rakyat telah ditaburi janji palsu dan terus dibohongi dengan manifesto yang tidak dilunaskan.
Maka sebelum Rafizi sibuk mahu mengasak kepimpinan Umno-BN, eloklah jika Rafizi bermuhasabah diri terlebih dahulu dengan mengakui dosa-dosa kerajaan PH yang telah menipu sebilangan besar rakyat di negara ini melalui manifesto dan janji palsu yang ditaburkan sebelum PRU-14.
Malah sebagai Timbalan Presiden PKR, saya fikir sangat molek sekiranya Rafizi turut memberi keutamaan untuk mengubati ‘panau dan kurap’ yang merebak dalam PKR dan PH sendiri, berbanding sibuk mencari menyelak pekung parti lawan terutama Umno-BN.
Walaupun saya perlu mengakui bahawa Umno-BN bukanlah parti yang sempurna, tetapi parti keramat ini telah terbukti berjaya membina kestabilan politik dan ekonomi sepanjang tempoh enam dekad sebagai pemerintah.
Malah melalui kestabilan yang diberikan Umno-BN inilah yang membolehkan individu seperti Rafizi ditaja untuk belajar ke luar negara dan kemudian mendapat peluang pekerjaan di syarikat multinasional terkemuka.
Maka sebelum Rafizi mahu mengasak, menghentam dan memperlekehkan Umno-BN, eloklah sekali lagi Rafizi bermuhasabah diri dan melihat dosa-dosa partinya terlebih dahulu, serta berhenti membohongi rakyat dengan formula dan janji palsu yang tidak mampu ditunaikan.
Oleh yang demikian, rakyat diingatkan sekali lagi, jangan termakan dengan pelbagai fitnah dan hasutan yang acapkali dilafazkan oleh insan yang bernama Rafizi Ramli ini. Cukup-cukuplah tawaran demi tawaran formula yang tidak masuk akal dan tidak praktikal.
Jadilah ahli politik yang bertanggungjawab, memimpin parti secara jujur dan amanah kerana sesungguhnya rakyat kini telah celik dan lebih bijak dalam menilai setiap sisi pemimpin dan parti politik di negara ini, terutama ketika menentukan sokongan mereka pada PRU15 akan datang.
Hentikanlah merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat dengan tawaran formula dusta dan janji palsu kerana setiap perkara yang telah dijanjikan akan dihitung, bukan sahaja pada Pilihan Raya Umum, tetapi juga di hadapan Ya Rabbul Izzati di khalayak lebih besar pada Hari Pengadilan.
Penulis adalah Bendahari Pemuda Umno merangkap Ketua Pemuda Umno Cheras
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)
Kredit foto : Sinar Harian

