CALON Naib Presiden PKR yang tewas, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihatkan Rafizi Ramli supaya berhenti bersandiwara selain bersikap lebih ikhlas dan jujur.
Kenyataan itu dibuat tuduhan terbaharu yang dilemparkan Rafizi bahawa Farhash termasuk dalam kumpulan yang rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat dirinya tewas dalam pemilihan parti.
Beliau berkata, Rafizi juga perlu berhenti memfitnah Anwar mendakwa seolah-olah membiarkan dirinya dikawal orang-orang lain.
“Ini sedangkan beliau sendiri turut cuba mempengaruhi presiden dengan berbagai cara.
“Nasihat saya kepada Rafizi adalah supaya beliau lebih ikhlas, jujur dan berhenti bersandiwara sedangkan di sebaliknya beliau bermain politik kotor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Farhash yang menyangkal segala dakwaan bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Rafizi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak tahu mengenai kepincangan yang berlaku dalam proses pemilihan PKR.
Beliau berkata, aduan terhadap kepincangan yang berlaku dalam pemilihan PKR bukan dibuat oleh beliau seorang tetapi oleh ratusan anggota dan calon terhadap keputusan yang dilihat tidak munasabah.
“Sejak dari awal telah wujud persoalan tentang keberadaan syarikat pengendali aplikasi mudah-alih ADIL yang digunapakai untuk pengundian atas talian (PAT) dalam pemilihan Parti kali ini, di mana individu-individu yang terlibat terkait rapat dengan dirinya dan gerakan Ayuh Malaysianya.
“Jelas proses pemilihan dan lebih lagi pengiraan undi yang dilakukan secara rahsia terbuka kepada manipulasi dan penipuan akibat dari itu. Ini adalah amalan yang sepatutnya ditolak oleh parti dari awal lagi namun dibiarkan.
“Tuntutan kami adalah seperti juga apa yang parti serta rakan-rakan seangkatan kita telah perjuangkan dalam gerakan menuntut pilhanraya yang bersih, telus dan adil,” katanya.
Farhash mendesak supaya audit forensik dilakukan dengan telus dan membuat kiraan semula semua undi termasuk pengundian atas talian di hadapan saksi.
Terdahulu, Rafizi mendakwa tuntutan mengadakan audit digital hanyalah permainan segelintir anggota parti yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini.
Rafizi berkata, mereka yang terlibat dalam tuntutan tersebut mempunyai hubungan rapat rapat dengan Anwar
Tambahnya, mereka merasakan boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan beliau tidak disahkan sebagai Timbalan Presiden.
“Saya telah menjelaskan secara dalaman pandangan saya bahawa motif sesetengah pihak seperti Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terus mempersoal pemilihan parti adalah serampang dua mata,” katanya. – Malaysiapost
“Pertama, untuk cuba mengubah keputusan supaya saya dan beberapa orang lain yang menang bersama saya tidak disahkan oleh Kongres Nasional.-Malaysiapost

