Cadang konsep ‘Diyat’ ganti hukuman jenayah libat nyawa

0
1
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KERAJAAN digesa mengekalkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan jenayah berat melibatkan nyawa bagi mengekang peningkatan kes jenayah.

Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam kenyataan bersama berkata, kerajaan perlu membuat semakan semula berhubung perkara itu.

“Sekiranya, hukuman mati mandatori dihapuskan sepenuhnya, dikhuatiri peratusan kes jenayah akan terus meningkat dengan lebih tinggi.

“MCCC dan juga MHO menggesa agar pihak kerajaan untuk mengekalkan hukuman mati mandatori ke atas kesalahan jenayah berat yang melibatkan nyawa dan juga kesalahan pengedaran dadah,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Pertubuhan itu berkata, manakala jenayah-jenayah lain yang dilakukan tanpa niat membunuh tetapi melibatkan nyawa dan juga kesalahan mangsa penyeludupan dadah atau keldai dadah, hukuman mati mandatori wajar diganti dengan hukuman mati pilihan atau lain-lain hukuman.

“Selain itu, pihak MCCC dan MHO mencadangkan kerajaan selaku penggubal undang-undang di negara ini menimbangkan dan menggunapakai konsep undang-undang jenayah Islam.

“Iaitu hukuman Diyat untuk dipraktikkan sebagai hukuman jenayah yang melibatkan kematian nyawa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, konsep hukuman Diyat ini wajar diteliti kerana ianya juga merupakan suatu bentuk keadilan kepada waris atau keluarga mangsa yang dibunuh.

“Kerajaan perlu bijak dalam memastikan konsep pencegahan jenayah itu tercapai, perlulah mempertimbangkan dan menilai untuk suatu hukuman yang berat agar perbuatan jenayah itu dapat dikurangkan dan seterusnya dicegah,” katanya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri, baru-baru ini.

Wan Junaidi berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here