Nahar Tajri
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau hanya mempunyai dua akaun peribadi yang salah satu digunakan untuk menerima elaun Ahli Parlimen.
Ahmad Zahid berkata, manakala satu lagi akaun adalah bagi urusan gaji menteri dan tiada sebarang sumber luar masuk ke dalam akaun berkenaan sepanjang perkhidmatannya sehingga kini.
Beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan sekiranya ada salah laku membabitkan dua akaun peribadi miliknya.
Ahmad Zahid berkata demikian, bagi menjawab soalan bertalu-talu pihak pendakwaan yang memberi gambaran bahawa sumbangan tunai yang diterima oleh Yayasan Akal Budi (YAB) tidak digunakan untuk tujuan amal jariah seperti didakwanya dalam keterangan sebelum ini.
Antara kenyataannya yang dicabar pihak pendakwaan adalah mengenai sumbangan bernilai RM7.5 juta kepada Yayasan Al Falah membabitkan pembelian dua lot banglo di Country Height, Kajang untuk dijadikan Madrasah dan Pusat Pengajian Islam.
Ahmad Zahid turut meminta pihak mahkamah membuat lawatan ke lot berkenaan untuk mendapatkan kepastian.
“Saya syorkan pihak mahkamah untuk buat lawatan dan lihat sendiri untuk buat kepastian,”katanya.
Sementara itu, Presiden Umno itu berkata, beliau sememangnya tiada halangan untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan penyata kad kreditnya, bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian kerana sibuk menguruskan masalah negara.
Beliau, meletakkan sepenuh kepercayaan kepada setiausaha eksekutifnya ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly untuk menguruskan pembayaran dan menunjukkan penyata berkenaan kepadanya.
“Saya tidak pernah dapat melihat penyata dan bila diminta pun saya tak dapat. Beliau hanya kata ada penyata itu ada kepada saya.
“Saya bersangka baik kepada Mazlina saya turut memberi kepercayaan kepadanya untuk menguruskan pembayaran bil air dan elektrik.
“Dia tak perlu guna cek Yayasan pun kerana akaun peribadi saya mempunyai baki yang mencukupi. Setiap arahan saya adalah menggunakan akaun peribadi,” katanya ketika disoal balas.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB. – Malaysiapost

