FELCRA Berhad mengumumkan RM153 juta bagi Bayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 1 kepada 75,800 pesertanya di seluruh negara tahun ini.
Jumlah itu menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, merupakan kenaikan 106 peratus atau hampir RM79 juta berbanding tahun lalu.
“Prestasi dicatat FELCRA Berhad sangat membanggakan dan saya menggalakkan agar ia menjalankan kerjasama dengan syarikat swasta lain agar dapat mengembangkan lagi perniagaan syarikat terutama dalam teknologi pertanian.
“Ini sekali gus akan menambah dan meningkatkan lagi keuntungan operasi FELCRA dan seterusnya memberi pulangan pendapatan yang baik kepada seluruh peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 FELCRA Berhad di Padang Terap hari ini.
Turut hadir, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Mad Roni Zakaria.
Menurut Mahdzir, bayaran keuntungan itu akan dibuat bermula hari ini secara berperingkat kepada semua 75,800 peserta FELCRA di seluruh negara.
Jelas beliau, peningkatan prestasi Keuntungan Boleh Agih tahun ini dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit dan getah.
Sehingga April 2022, purata harga komoditi sawit adalah hampir RM1,200 iaitu kenaikan RM550 atau lebih 79 peratus berbanding harga tahun lalu iaitu RM670.
Selain itu, katanya, berlaku kenaikan purata pendapatan ladang perhektar iaitu RM4,900 atau hampir 57 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM3,100.
“Pencapaian utama FELCRA ialah berjaya menyatukan dan memulihkan tanah yang bermasalah menjadi sebuah ladang dan estet yang besar dan ia harus dijadikan model dan contoh kepada kawasan pertanian kecil lain di seluruh negara.
“Inisiatif penyatuan dan pemulihan tanah bermasalah dilaksanakan FELCRA itu dengan kos pengurusan minimum iaitu hanya 6.5% telah merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat luar bandar,” kata Mahdzir. – Malaysiapost

