SETELAH bertarung nyawa akibat sakit tua, BAD iaitu anjing K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menghembuskan nafas terakhir petang semalam.
Berdasarkan perkongsian di Facebook Polis Pahang, BAD berumur 13 tahun 8 bulan (bersamaan manusia 91 tahun), telah menabur bakti di Unit Anjing Pengesan (K9_ JSJ IPK Pahang sejak 4 Ogos 2011.
“Berasal dari Jerman, anjing jantan spesis Labrado ini merupakan pakar dalam pengesanan pelbagai jenis dadah di bawah seliaan Koperal Willen anak Slamping @ Sirampin.
“Dengan kemahirannya, sepanjang perkhidmatan BAD telah berjaya menghasilkan dua kejayaan besar dalam menumpaskan sindiket dadah pada 2012 dan 2014,” menurut perkongsian itu.
Tambah Polis Pahang, bagi menghargai jasa dan khidmat bakti BAD, Pegawai Turus D6 JSJ Pahang, Asisten Superintendan Chia Che Chau bersama pegawainya dan anggota K9, telah memberi penghormatan terakhir kepada BAD.
Ia disemadikan bersebelahan rakan sepejuangannya THO yang telah pergi pada 19 September 2020.

“JSJ Pahang akan merealisasikan “K9 Memorial Park” dengan menaik taraf kawasan tersebut yang kini menjadi tempat persemadian dua anjing K9 yang berbakti negara.
“Jasa dan bakti BAD kekal sebagai sumbangan buat negara tercinta,” kata Ketua JSJ Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman. – Malaysiapost

