PM arah NADMA, pihak berkuasa berkaitan segera bantu mangsa banjir di Baling

0
3

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan agar segera membantu mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah.

Menurutnya, walaupun kini berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, beliau sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

“Saya berasa sedih dan sangat simpati dengan kejadian bencana banjir yang berlaku di Baling, Kedah yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban setakat ini.

“Saya mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

“Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mendoakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini.

“Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here