Filem Mat Kilau terima dana kerajaan – Finas

0
2

PRESTASI memberangsangkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn Bhd dengan kutipan pecah panggung memberi sinar harapan industri perfileman negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pencapaian filem itu amat menggembirakan dan menyuntik semangat untuk Finas lebih giat membantu penggiat industri.

Menurutnya, filem Mat Kilau merupakan penerima sokongan dan galakan daripada kerajaan, iaitu Dana Kandungan Digital (DKD) dengan jumlah geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran sebanyak RM300,000.

Beliau berkata, proses suntingan filem terbabit juga telah dilakukan menggunakan studio yang dibangunkan oleh Finas, iaitu Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka.

“Finas mengucapkan tahniah atas kejayaan filem arahan Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28, Syamsul Yusof, dalam meraih RM43.9 juta jualan tiket panggung dalam masa 12 hari.

“Fenomena sambutan penonton bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan Brunei membuktikan kekuatan jenama filem tempatan meraih kepercayaan penonton ke pawagam setelah berhadapan cabaran impak pandemik Covid-19.

“Ini juga membuktikan kekuatan cerita tempatan yang diinspirasikan daripada sejarah dan warisan diterima penonton serta mempunyai potensi besar untuk diangkat ke layar perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain dana, Finas juga komited dalam membantu meringankan beban penerbit melalui Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sejak 1 Julai 2011 selepas menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan.

“Insentif ini adalah ihsan kerajaan dalam membantu penerbit dan pengeluar filem tempatan yang perlu membayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus kepada kerajaan negeri, yang sudah tidak lagi disalurkan semula kepada Finas sejak tahun 2000.

“Finas meneruskan insentif ini kerana menyedari kepentingan industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hasrat dasar ITFC, filem seperti Mat Kilau berpeluang menerima pulangan sebanyak RM500,000 kerana kutipan tiket melebihi RM6 juta.

“Selain itu, Finas bakal mengadakan pertemuan dengan pihak pempamer dan penerbit filem tempatan pada 7 Julai 2022 bagi melihat semula agihan keuntungan jualan tiket filem antara kedua-dua pihak agar mencapai keputusan dan garis panduan yang lebih jelas dan adil.

“Kejayaan filem dan penerbitan-penerbitan lain yang menerima dana galakan daripada kerajaan atau yang turut menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan kerajaan membuktikan bahawa dasar dan program kerajaan adalah tepat,” katanya.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab penggiat industri yang menerima peruntukan melalui Finas untuk terus mematuhi perjanjian kontrak dan memberi kredit sewajarnya kepada pihak kerajaan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Finas, seperti yang termaktub dalam terma perjanjian tersebut.

“Finas berharap dengan kebangkitan serta sambutan hebat kepada filem Mat Kilau ini akan terus menjana sokongan terhadap penontonan filem-filem tempatan selepas ini.

“Serta memberi galakan kepada penerbit meningkatkan penghasilan karya berkualiti yang mampu menembusi pasaran tempatan dan juga antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here