Segerakan bantuan mangsa banjir di Baling – Ahmad Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

SEGALA bantuan yang diperlukan oleh mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di Baling, Kedah semalam perlu diberikan secepat mungkin.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bantuan-bantuan itu mesti disampaikan segera tanpa sebarang permasalahan yang merumitkan penyaluran bantuan.

“Berdasarkan laporan, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan mangsa banjir telah pun dibuka.

“Bagaimanapun, segala bantuan lain yang diperlukan para mangsa mestilah diberikan secepat mungkin.

“Bantuan pasca banjir juga perlu diberikan secepat mungkin kepada mereka yang terkesan. Elakkan permasalahan yang merumitkan, melambatkan dan menyusahkan bantuan dihulurkan kepada para mangsa,” katanya satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

“Saya mendoakan semua yang sedang terjejas akibat banjir di Baling berada dalam keadaan selamat.

“Saya turut mendoakan banjir yang berlaku cepat surut agar mangsa dapat kembali ke kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon agar semua penduduk di Baling yang terkesan agar sentiasa bertenang dan bersabar dengan ujian yang dialami.

“Kepada semua rakyat Baling yang sangat saya kasihi, saya mohon agar sentiasa bertenang dan sabar dengan ujian dari Allah SWT pada kali ini.

“Insya-Allah, saya bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan masing-masing beserta dengan seluruh agensi yang terlibat sentiasa bersama anda memantau setiap perkembangan.

“Dan seterusnya berusaha melaksanakan bantuan dengan kadar segera. Hubungi saya di talian 019-3177777 sekiranya anda memerlukan bantuan,” katanya di Facebook.

Beliau turut sempat meninjau keadaan di PPS yang menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas banjir membabitkan kawasan Kampung Iboi, Kampung Tanjung Luas, Kampung Sedim dan Kampung Jernang.

Menurutnya, antara PPS yang ditinjau adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai yang menempatkan 41 orang penduduk melibatkan sembilan keluarga setakat jam 11.20pm tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here