Rumah hanyut, keluarga hilang

0
1

BANJIR lumpur yang melanda Kampung Iboi, Baling semalam mengakibatkan banyak rumah dihanyutkan dan lebih malang terdapat mangsa yang dilaporkan hilang.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata turut menjadi mangsa adalah keluarga kepada bekas Ketua Cawangan Umno Kampung Bukit Iboi yang dikenali sebagai Pakcik Awang Milo

Menurutnya, isteri serta anak dan menantunya dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat di kawasan berkenaan semalam.

“Tolong doakan agar semua mangsa yang hilang ditemui selamat. Turut menjadi mangsa merupakan isteri, anak dan menantu kepada bekas Ketua Cawangan Umno Kg Bukit Iboi Baling Pakcik Awang Milo yang saya baru sahaja bercakap telefon dengannya.

“Masih kesedihan kerana isteri, anak dan menantu dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat yang mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.

“Banyak rumah yang dihanyutkan. Moga Allah melindungi mereka semua. Allahumma amiin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Beliau turut memberikan semangat kepada Pakcik Awang yang diuji kehilangan isteri, anak dan menantu serta berdoa agar ketiga-tiganya dapat ditemui segera dengan selamat.

“Moga Allah berikan kekuatan kepada Pakcik Awang dan menemukan anggota keluarga beliau dengan selamat, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan Pemuda Umno Baling sudah digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan sejak petang semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here