Rakaman tular memaparkan dua pelanggan lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang wanita di sebuah kedai makan yang terletak di Setiu, Terengganu menerima reaksi pelbagai pihak.
Bertindak atas aduan ramai, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman yang menimbulkan kecaman warga maya sejak video itu tular di media sosial.
Pesuruhjaya JHEAT M Rozi Bidin, berkata pihaknya akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Premis (kedai makan) ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi dan dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian…itu tak betul sebab premis ini sedang dalam pemantauan.
“Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada.
“Tiada kompromi dalam hal sebegini kerana ia bukan hanya mencemarkan agama Islam itu sendiri tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman berdurasi 34 saat yang memaparkan dua pelanggan di sebuah kedai makan tanpa segan silu merangkul pinggang pekerja wanita ketika sedang bergambar.
Video itu mendapat kecaman netizen yang rata-rata meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sikap memalukan berlaku di kawasan awam. – Malaysiapost

