POLIS Johor menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor, kelmarin.
Serbuan jam 11 malam itu dijalankan terhadap premis yang terletak di muara sungai yang dipercayai dalam kawasan tanah milik persendirian dan dijadikan lokasi transit kegiatan sindiket berkenaan.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata hasil serbuan berjaya menahan 13 individu terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia 18 hingga 62 tahun.
Menurutnya, sindiket berkenaan membeli minyak diesel di sekitar Johor dengan harga pasaran RM2.15 seliter sebelum menjual semula diesel dengan harga lebih RM3 kepada pengusaha industri dan kapal tempatan serta antarabangsa.
“Sindiket ini mensasarkan mereka yang menggunakan atau membeli diesel dalam kuantiti banyak.
“Dalam tiga hari sekali, mereka akan melakukan kegiatan menjual diesel ini dan melakukan pemindahan minyak kepada pembeli di tengah laut yang juga laluan antarabangsa.
“Setiap liter yang dijual kepada pasaran gelap, sindiket ini mengambil untung antara RM1 atau lebih,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan, hari ini.
Menurutnya, sebuah kapal tangki bernilai RM13 juta yang didapati berdaftar di negara asing disita, selain 138,000 liter diesel bernilai RM386,400 dirampas.

Beliau berkata, turut dirampas empat lori tangki berkapasiti 160,000 liter setiap satu, empat pam penyedut minyak, dua set generator dan sebuah kereta yang mana semua barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM14.45 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil semakan rekod mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sejak awal tahun ini Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor sudah membuat rampasan sebanyak 820,959 liter diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai lebih RM1.76 juta. – Malaysiapost

