3,000 ubat Paxlovid untuk jemaah haji Malaysia – Dr Noor Hisham

0
1

JEMAAH haji Malaysia yang mengerjakan ibadah berkenaan tahun ini dibekalkan dengan Paxlovid iaitu ubat antiviral Covid-19 dalam usaha menangani wabak berkenaan di kalangan jemaah haji.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membekalkan 3,000 ubat antiviral berkenaan untuk jemaah haji negara.

Menurutnya, ia sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti Covid-19 semasa berada di Tanah Cuci.

“Ubat ini akan dapat membantutkan keparahan jangkitan dan dapat segera memulihkan jemaah untuk melaksanakan ibadah haji,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Noor Hisham kini berada di Tanah Suci berkesempatan meninjau persiapan kesihatan dan perubatan Lembaga Tabung Haji (TH) dan KKM bagi musim haji kali ini.

Sementara itu dalam kunjungan ke Klinik Kecemasan dan Pesakit Luar serta Pusat Rawat dan Rehat di Hotel Land Premium, beliau melihat sendiri operasi di fasiliti berkenaan dan menyantuni petugas kesihatan KKM-TH serta para jemaah haji Malaysia yang sedang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti ini.

“Klinik kecemasan dan pesakit luar di Hotel Land Premium menawarkan perkhidmatan kepada Maktab 48 dan 50 oleh 18 orang petugas kesihatan KKM. Hotel ini juga menempatkan Pusat Rawat dan Rehat yang mempunyai kapasiti 60 katil.

“Buat masa ini, jumlah pesakit harian di klinik kecemasan dan pesakit luar adalah 153 kes sehari, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 180 hingga 200 orang sehari menuju ke kemuncak ibadah haji dan juga selepas kemuncak ibadah haji.

“Alhamdulillah fasiliti ini sangat selesa dan diharapkan jemaah yang mendapatkan konsultasi dan rawatan di sini berpuas hati dengan perkhidmatan terbaik yang ditawarkan. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insha-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here