KENAIKAN harga barang menjadi perbualan netizen yang terkesan dengan peningkatan mendadak harga minyak masak botol yang begitu ketara bermula 1 Julai lalu.
Terdapat keluhan dari pengguna yang terkejut harga terkini hampir mencecah RM50 bagi minyak masak botol lima kilogram (kg), namun ada juga tindakan netizen bergurau berkenaan isu tersebut sehingga menyentuh sensitiviti agama.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung tampil menegur perbuatan mereka yang bergurau ‘berjaya’ membeli minyak masak dengan harga murah, sedangkan ia sebenarnya minyak untuk kegunaan upacara sembahyang bagi penganut bukan Islam.
Dalam hantaran di laman Facebook, beliau menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai bahan gurauan.
“Saya faham situasi sahabat-sahabat dengan kenaikan harga barangan cuma saya ingin nasihati diri saya dan sahabat-sahabat yang beriman.
“Barangkali kita mahu bergurau tetapi Islam melarang kita untuk menipu walaupun ketika bergurau. Tertera jelas ‘minyak untuk sembahyang sahaja’ dan saya percaya admin page tersebut tahu membaca dengan baik,” katanya.
Firdaus Wong dalam hantaran itu turut memetik Nabi Muhammad SAW bersabda iaitu ‘celakalah bagi yang berbicara lantas berdusta hanya kerana ingin membuat suatu kaum tertawa, celakalah dia, celakalah dia’.
“Nasihat kedua ialah kita tidak suka orang menghina Islam atau menjadikan peralatan sinonim dengan Islam seperti songkok, kopiah, telekung, sejadah dan sebagainya sebagai alat gurauan. Maka kita juga tidak seharusnya menjadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai bahan gurauan kita.
“Prinsip saya tetap sama tanpa mengira siapa pun. Yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah. Kita melihat prinsip bukan melihat siapa yang melakukannya,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang membuat jenaka dapat membeli minyak masak botol yang berharga RM9.90.
Bagaimanapun, gambar yang ditunjukkan bukan minyak untuk kegunaan memasak tetapi adalah minyak yang digunakan dalam upacara sembahyang bagi penganut bukan Islam. – Malaysiapost

