Isu lantikan TPM, menteri, tidak wajar dibangkitkan – Mohd Razlan

0
3

TINDAKAN Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan isu lantikan jawatan baharu termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, memalukan serta mementingkan diri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata Muhyiddin tidak wajar memikirkan perihal jawatan ketika rakyat dan negara kini dalam keadaan terhimpit dengan pelbagai masalah khususnya kenaikan harga barang dan ekonomi.

“Fikirlah sikit kesakitan rakyat! Sekiranya saya di kedudukan Tan Sri Muhyiddin, saya akan malu sekira membangkitkan isu jawatan, isu kepentingan individu mahupun kepentingan parti dikala rakyat sedang dihimpit cabaran masa kini.

“Dalam waktu kerajaan hilang punca pendapatan, hasil negara mengecil, kewangan Negara dicatu, tidakkah terpikir oleh Pengerusi Bersatu ini untuk berkongsi kesengsaraan ini?

“Malah, dalam jangka waktu tinggal 10 bulan penggal berakhir, Muhyiddin mendesak Perdana Menteri untuk ditambah jawatan supaya diberikan kepada Bersatu. Dalam waktu sesingkat ini, Presiden Bersatu meminta ganti Menteri yang baharu,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Mohd Razlan, Muhyiddin juga pernah menjadi Menteri termasuk Menteri Besar, dan mempunyai pengalaman sekian lama, sekali gus mengetahui bahawa jawatan menteri ini akan mengambil masa setidak-tidaknya setengah tahun bagi suai kenal di kementerian dan mengenali dasar serta lantikan 11 pegawai yang baru.

“Jadi, apa sangatlah seorang Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh lakukan dalam jangka waktu sesingkat ini!

“Memang tidak salah keputusan Umno menolak untuk bersama dengan Bersatu, semakin dilayan Bersatu semakin jelas ketamakan Bersatu.

“Umno perlu terus memberi penjelasan dan kepekaan kepada Rakyat bahawa Umno tiada kena mengena dengan Bersatu agar kita tidak terpalit dengan ketamakan mereka,” katanya.

Menurutnya, Umno juga tidak pernah mengetahui kehendak mahupun perjanjian yang di sebut oleh Muhyiddin, berkaitan pelantikan jawatan tersebut.

“Mungkin bukan hanya jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri atau Pengerusi GLC, mungkin juga projek-projek ratusan juta, ianya harus dihentikan dan tidak perlu dilayan.

“Kerana tidak ada yang menguntungkan rakyat dan negara sekira melayan kehendak Bersatu, langkah melayan kehendak Bersatu akan membuat Rakyat makin menyampah dengan kerakusan ahli Politik, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Bersatu juga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here