LEBIH ramai usahawan kecil dipelawa meneroka dan menceburi perniagaan pra-francais melalui pembiayaan disediakan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazlan Ibrahim berkata jika sebelum ini pakej pembiayaan bagi program pra-francais ialah RM25,000, namun Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersetuju untuk menambah jumlah itu kepada RM50,000 bermula tahun ini.
“Kadar pembiayaan boleh mencecah RM500,000 kepada mereka (usahawan) yang memenuhi kriteria ditetapkan PERNAS.
“Sebagai contoh, kebanyakan usahawan memulakan perniagaan mereka di rumah, jadi untuk berkembang dan memenuhi permintaan, tak bolehlah terus beroperasi di rumah, kena ada kilang atau premis, jadi kita sediakan pembiayaan untuk tujuan itu.
“Selain menyediakan pembiayaan, PERNAS juga menawarkan khidmat nasihat dan kursus kepada usahawan yang memperoleh pembiayaan daripada kami,” katanya selepas Program Mini Ekspo Transformasi Dalam Perniagaan (BITe) di Kuantan, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan (Francais dan Vendor) KUSKOP, Che Zainudin Che Jusoh.
Program sehari itu disertai 150 peserta terdiri usahawan dan operator pra-francais yang sudah mencipta nama selepas mengikuti program BITe kendalian PERNAS.
Antara aktiviti program itu ialah sesi perkongsian ilmu oleh usahawan BITe, taklimat dari agensi kerajaan, sesi pemadanan serta forum perniagaan.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan program BITe, Mazlan berkata, sebanyak 184 jenama sudah mendaftar dalam program terbabit dan tahun ini pihaknya menyasarkan 22 lagi usahawan dihasilkan melalui program sama.
“Selain membantu usahawan kecil lebih kompetitif dan sistematik, kita mahu melihat mereka ini didaftar sebagai perniagaan francais.
“Sehingga kini, enam jenama hasil program BITe sudah mendapatkan lesen francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, PERNAS membelanjakan RM8.3 juta untuk program BITe dengan 2,000 pra-francaisi dilahirkan sekali gus menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan. – Malaysiapost

