Umno tidak akan berpecah sebab isu Tajuddin – Ahmad Maslan

0
2

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan parti itu tidak akan berpecah disebabkan pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkenaan pakatan menjatuhkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tiada krisis yang berlaku dalam parti itu seperti mana yang dihebohkan, selain menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap mentadbir kerajaan dan Ahmad Zahid mengetuai Umno.

“Presiden Umno ulangi dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 24 Jun bahawa calon Perdana Menteri/ ‘poster boy’ untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Ismail Sabri.

“Umno tidak akan berpecah sebab isu DS Tajuddin. Biarlah beliau tumpu sebagai Duta Besar,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahmad Maslan berkata, pendedahan Tajuddin tidak menjejaskan parti itu kerana Umno sudah melalui pelbagai isu dalaman.

Katanya, kerana kematangan ahli parti itu, Umno tetap berdiri teguh dan akan terus padu dalam menghadapi cabaran.

“Fokus kini selesaikan masalah rakyat tntang kos hidup dan harga barang yang meningkat,” katanya.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dalam satu sidang media Isnin lalu, mendedahkan 130 Bahagian Umno mahu Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

Menurutnya, gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dibantu Datuk Seri Najib Razak kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh.

Beliau turut mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) beberapa Ahli Parlimen Umno yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here