Polis buru kumpulan lelaki merusuh, rosakkan kenderaan

0
1

POLIS kini sedang giat mengesan dua kumpulan lelaki yang bergaduh dan merosakkan beberapa kenderaan awam dalam kejadian di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata dua kumpulan terbabit yang daripada kira-kira 20 lelaki bergaduh menggunakan besi dan botol arak.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa keretanya dirosakkan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu.

“Lelaki yang juga pengadu itu meletakkan keretanya di tepi jalan berkenaan untuk ke gerai berhampiran bersama rakan-rakannya, sebelum dua kumpulan lelaki itu merusuh.

” Pengadu mendapati kumpulan lelaki terbabit merosakkan beberapa kereta yang berada di situ, termasuk kereta pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lelaki terbabit mendapati keretanya mengalami kerosakan pecah cermin belakang dan cermin bahagian penumpang belakang sebelah kanan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi hotline Polis Brickfields 03-2297 9222, hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here