Muhammad Mustakim Ramli
[WAWANCARA] MUAFAKAT Nasional (MN) kini lemah, tidak lagi seperti peringkat awal penubuhannya yang menyaksikan kebangkitan orang Melayu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Jelasnya, dua parti yang menjadi tonggak kepada MN iaitu Umno dan PAS perlu kembali kepada matlamat asal penubuhan muafakat itu.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, sebelum ini Umno dan PAS saling berpelukan, menangis bersama-sama dan bergembira juga bersama-sama apabila menang Pilihan Raya Kecil (PRK).
Namun, kini katanya, semangat kesatuan, laungan untuk bangkit semula tidak kedengaran lagi dan semangat perjuangan yang jitu juga sudah tiada.
“Ada yang masih bawa matlamat asal dan ada kumpulan lain pula untuk diri dia sendiri.
“Itu menyebabkan MN itu jadi lemah sekarang ini pada amatan saya,” katanya kepada Malaysiapost.
MN adalah sebuah gagasan ditubuhkan Umno dan PAS selepas BN tumbang buat pertama kali dalam sejarah politik negara pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu.
Gabungan itu dibentuk melalui kerjasama politik dua parti pembangkang dominan orang Melayu iaitu Umno dan PAS.
Kerajasama itu telah berjaya menumbangkan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Jadi sebahagian kerajaan bukan kesilapan
Ditanya sama ada menjadi kerajaaan adalah punca dan penyebab gabungan dua parti terbesar orang Melayu itu lemah, Tajuddin berkata ia bukanlah kesilapan seperti yang didakwa segelintir pihak.
“Kita sebelum jadi kerajaan dah kuat.. kita dah menang berapa PRK…kita dah kuat tunggu masa nak lawan ja dalam PRU15 tetapi kita tak sabar.
“Jadi kerajaan bukan satu kesilapan tetapi kita tak urus dgn baik, peluang dah ada, ‘you’ dah dapat jawatan duduk dalam tu tetapi tak urus dgn baik.. tak memanafaatkan untuk bantu beri kekuatan pada parti.
“Matlamat tiap org tak sama.. ada yang nak macam ni, ada yang nak macam tu.. jadi macam mana? Ini, kamu buat hal kamu, asal dia dapat apa dia nak…tak boleh macam tu,” katanya.
Tajuddin menyarankan Umno dan PAS perlu kembali ke pangkal jalan yang ditetapkan melalui Piagam MN.
“Kita tak boleh salahkan orang itu, salahkan orang ini. Jangan salahkan Umno, jangan salahkan PAS dan jangan salahkan Bersatu.
“Kita kena muhasabah diri di mana kesilapan kita di mana Allah beri kekuatan pada kita untuk menang PRK berturut-turut, sekarang apa yang jadi? Jadi kena muhasabah diri mana kesilapan kita.
“Tanya la sesiapa pun jadi sesuatu mesti dilakukan untuk bangkitkan semula terutama kepada pengasas Umno dan PAS..insaflah kembalilah ke pangkal jalan supaya Umno dan PAS bangkitkan semula MN,” katanya.-Malaysiapost

