ORANG ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian kebakaran sebuah banglo tiga tingkat yang mengorbankan dua nyawa dalam kejadian di Tiara Vila Residensi, Kuala Lumpur, pagi tadi diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurutnya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima maklumat awal mengenai kebakaran itu pada jam 6.24 pagi tadi.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat ke lokasi kejadian dan mengambil masa 30 hingga 40 minit memadamkan kebakaran tersebut.
“Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai dia mayat wanita yang telah renting di dalam bilik berasingan di tingkat atas rumah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kes disiasat oleh Ketua Polis Balai Petaling, Inspektor Nazrul Hisham Musa.
“Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.
“Maklumat lain berkaitan Jenayah boleh disalurkan kepada hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Media hari ini melaporkan dua beranak ditemui rentung, manakala dua lagi melecur dalam kebakaran sebuah rumah banglo tiga tingkat di Taman Gembira, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

