Ingat ibu bergurau, rupanya arwah hamil 3 bulan

0
1

PEMBONCENG motosikal yang maut bersama suaminya semalam disahkan hamil tiga bulan.

Perkara itu diakui anak sulung mereka Mohd Amirullah Mohd Abdika, 16, yang terkejut dan tidak menyangka ibunya Rabiatuladawiyah Saufi, 36, hamil adik ketiganya.

“Saya sangat terkejut selepas doktor memaklumkan ibu sebenarnya mengandung,” katanya.

Pasangan suami isteri itu maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Tanjung Jara, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Rabiatuladawiah yang membonceng motosikal Aprilia RSV4 ditunggangi suaminya Mohd Abdika Razali, 36, merempuh Toyota Innova yang secara tiba-tiba keluar dari persimpangan jalan sekali gus meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Amirullah berkata, doktor memaklumkan ibunya itu mengandung tiga bulan selepas membuat bedah siasat ke atas mayatnya, malam tadi.

“Sebelum ini, ibu ada memaklumkan dia mengandung dan saya bersama dua adik sangka dia bergurau.

“Dia selalu bergurau begitu dengan kami… sebab itu saya tak ambik pusing, namun selepas dimaklumkan doktor saya bertambah sedih,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Menurutnya, beberapa hari sebelum itu, dia ada melihat alat ujian mengandung di dalam bilik ibunya, tetapi tidak mengesyaki ibunya mengandung.

“Kalau diikutkan, ibu sepatutnya melahirkan adik pada hujung tahun ini, namun apa boleh buat kerana semua sudah ketentuan Ilahi,” katanya.

Amirullah berkata, mereka sekeluarga sempat bercuti di Gunung Jerai, Kedah pada Ahad lalu.

“Mulanya kami dibawa ayah dan ibu keluar makan di Bandar Kuala Terengganu, tiba-tiba ibu dan ayah mengajak kami ke Kedah dalam keadaan sehelai sepinggang.

“Percutian itu sungguh menyeronokkan dan tak sangka ia adalah kenangan terakhir kami adik-beradik bercuti bersama ibu dan ayah,” katanya.

Jenazah suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapor, Binjai kira-kira 3 pagi tadi, hari ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here