Pulau Batu Putih: Tun M tak wajar tuding jari kepada pihak lain

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad tidak wajar mengambil sikap menuding jari serta menyalahkan pihak lain dalam isu Pulau Batu Puteh, kata Ahli Undangan Dewan (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin .

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengerang itu, berkata beliau selaku salah seorang ADUN Johor merafak sembah menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Johor yang kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018.

Katanya, ketika itu, Dr Mahathir yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri telah membuat satu keputusan yang membelakangi Sultan Johor selaku ketua negeri Johor untuk tidak meneruskan semakan terhadap keputusan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) tentang pemilikan Batu Puteh.

“Lebih mengecewakan, apabila Dr Mahathir telah merujuk Pulau Batu Puteh sebagai ‘pulau yang bersaiz sebesar meja’,” katanya dalam satu kenyataan.

Aznan berkata, sebagai bangsa Johor, walau seinci tanah Johor ia melambangkan kedaulatan negeri dan seluruh jajahan takluk Tuanku Sultan Johor.

“Lebih-lebih lagi, Pulau Batu Puteh ini letaknya berhampiran dengan kawasan saya iaitu Dun Tanjung Surat.

“Saya berharap Dr Mahathir sebagai ‘negarawan’ dapat ambil tanggungjawab dan bukannya meneruskan sikap menuding jari menyalahkan pihak lain atas keputusan sendiri,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa kenyataannya yang mendesak Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana kedua-dua wilayah itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu telah dilaporkan di luar konteks.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu menjelaskan, kenyataan beliau hanya merujuk kepada Pulau Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia berbanding wilayah lain yang sebelum ini diambil dari Malaysia.

Menurutnya, kehilangan pulau kecil itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor yang menafikan pemilikan pulau itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here