10 pelajar ditahan polis kes buli di asrama

0
1

10 PELAJAR ditahan polis dipercayai telah membuli seorang pelajar tingkatan dua hingga mendatangkan kecederaan di sebuah asrama sekolah menengah di Teluk Intan, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata suspek berusia 16 hingga 17 tahun itu direman empat hari bermula kelmarin hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 9.40 malam, Khamis lalu selepas mangsa dibuli 10 pelajar seniornya antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 1 pagi pada hari sama.

“Seorang suspek membawa mangsa ke bilik asramanya dan kemudian memukul mangsa secara beramai-ramai serta mencederakannya menggunakan seterika panas pada badannya.

“Mangsa kemudiannya menghubungi ibunya dan mengadu sakit di bahagian pinggang sebelum ibunya membawa mangsa ke hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat cemburu terhadap mangsa yang berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada seorang daripada suspek.

“Semua suspek ditahan pada jam 11.20 malam hari sama dan direman bagi membantu siasatan. Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here