Kerajaan perlu segera bincang Akta Pendanaan Politik

0
2

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan untuk menyegerakan konsultasi bersama parti politik berkaitan Akta Pendanaan Politik.

Beliau berkata, pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita semua maklum dakwaan dana politik dalam jumlah yang tidak masuk akal telah diagihkan oleh Datuk Seri Najib Razak kepada ramai pemimpin Umno seperti Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Samad dan lain-lain lagi.

“Selain itu, kita juga membaca laporan mengenai bagaimana individu yang rapat dengan Najib Razak dikatakan disuruh menghantar wang dari sebuah syarikat kepada pemimpin DAP Lim Guan Eng. Jam tangan mewah pun dikatakan diberikan kepada Lim Guan Eng.

“Justeru, usaha perlu dibuat supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh agar ia dapat dimuktamadkan untuk dibawa ke parlimen,” katanya menerusi Facebook.

Wan Saiful berkata, banyak lagi cerita-cerita mengenai penyaluran wang kepada orang politik yang berlaku secara tidak telus, dan sekiranya tiada undang-undang dibimbangi masalah itu akan berterusan.

Katanya, beliau juga terlibat dengan pelbagai usaha untuk mewujudkan Akta berkaitan pendanaan politik.

“Saya merupakan salah seorang ahli dalam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, yang ditugaskan mengkaji mekanisme menyelia pendanaan politik. Draf yang kami sediakan sudah cukup baik untuk dijadikan asas kepada langkah seterusnya.

“Saya juga merupakan ahli jawatankuasa Electoral Reform Committee di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020.

“Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea yang boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan,” katanya.

Tambahnya, beliau pernah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kumpulan rentas parti (All Party Parliamentary Group – APPG) mengenai pendanaan politik.

“Ia berdasarkan pengalaman saya dengan APPG di Parlimen Westminster, United Kingdom, saya tahu ia adalah cara pantas untuk mendapatkan ‘buy-in’ parti-parti politik. Cadangan saya masa itu dipandang sepi kerana Malaysia belum biasa dengan konsep APPG.

“Bagaimanapun, walaupun agak sejuk pada mulanya, Alhamdulillah kini sudah ada beberapa APPG dan salah satunya ialah mengenai pendanaan politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa, kawal selia pendanaan politik ini tidak perlu perbincangan terlalu panjang kerana proses perbincangan telah lama dilaksanakan.

“Idea-idea penting mengenainya telah pun dibahaskan. Namun isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada ‘political will’ atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here