LIM Guan Eng menegaskan sebarang kenyataan oleh saksi yang menekankan bahawa beliau menerima wang adalah tidak benar dan percaya ia adalah konspirasi politik terhadap dirinya.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan oleh saksi yang menekankan saya menerima wang adalah tidak benar, ia semata-mata satu rekaan kerana saya tidak menerima satu sen.
“Ini jelas kerana ia tak ada sebarang ‘money trail’ sama ada dalam bentuk wang tunai ataupun dalam akaun bank saya. Tidak langsung ada wang sebagaimana yang mereka dakwa.
“Saya percaya ini adalah satu konspirasi politik kerana tidak ada seorang ahli politik pun sekarang didakwa sungguhpun tidak ada ‘money traill’, rakaman pita atau rakaman audio dan video bahawa saya ada pernah tuntut wang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Pengerusi DAP itu, beliau akan menyerahkan berhubung perkara itu kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.
“Saya akan serah kepada peguam saya untuk membongkarkan fitnah ini pada hari Isnin,” katanya.
Pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, bahawa Guan Eng hanya tersenyum dan kelihatan gembira apabila menerima sampul surat berisi wang rasuah RM200,000 yang diserahkannya kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada 2013 dan 2014.
Zarul Ahmad, 62, yang juga saksi pendakwaan ke-23 memberitahu mahkamah beliau menyerahkan wang RM100,000 kepada Guan Eng pada 2013 sebagai tanda ‘milestone’ pembayaran perjanjian awal daripada keuntungan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.
Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – Malaysiapost

